top of page

SEJARAH AWAL PENUBUHAN

Batalion Keempat Belas Rejimen Askar Melayu Diraja telah ditubuhkan secara rasminya pada 01 Jan 1970 bertempat di Kem Majidee, Johor Baharu. Penubuhan batalion ini adalah ekoran tercetusnya Peristiwa 13 Mei 1969 yang mana batalion ini diwujudkan untuk memantapkan lagi pertahanan negara.


Kumpulan perintis pertama diketuai oleh Pegawai Memerintah pertama, Lt Kol Tahir bin Hj Ismail bersama 7 pegawai dan 12146 PW I Abdul Rahman bin Muhamad sebagai SMR pasukan yang pertama. Pada permulaan penubuhan batalion ini, anggotanya terdiri daripada 4 RAMD yang dijadikan sebagai Kompeni A, Kompeni B pula terdiri daripada 2 RAMD, Kompeni C dari 10 RAMD, Kompeni D dari 6 RAMD dan Kompeni Markas dari pelbagai unit RAMD.

Memandangkan penubuhan batalion ini datangnya daripada pelbagai unit infantri maka beberapa latihan yang dikenali sebagai Latihan EX WIRA telah diadakan untuk menyelaraskan kefahaman dan penyatuan anggota-anggota kompeni untuk disatukan sebagai satu pasukan. Latihan EX WIRA 1 bermula pada 12 Jun 1970 hingga 16 Jun 1970, EX WIRA 2 bermula 19 Jun 1970 hingga 11 Jul 1970 dan EX WIRA 3 dari 21 Ogos 1970 hingga 25 Ogos 1970.

Pada 01 Sep 1970, pasukan telah diberi taraf operasi dan pada 03 Sept 1970, pasukan telah diaturgerakkan buat pertama kalinya ke Kroh, Perak selama 3 bulan. Pada 01 Jan 1981, Bn ini telah dijadikan Batalion Gaya Baru dengan kekuatan pada masa itu seramai 41 pegawai dan 1082 LLP. Organisasi ini mewujudkan satu platun bagi setiap kompeni repal dan sebuah kompeni bantuan yang mengandungi 1 x Platun Mesin Gun Berat, 1 x Platun Penangkis Kereta Kebal, 1 x Platun Kereta Perisai Pembawa Anggota dan 1 x Platun Risik Gempur.

bottom of page